Kerajaan mengumumkan bahawa mereka telah mengenal pasti lapan platform media sosial dan permesejan atas talian yang memerlukan lesen khas jika mereka ingin terus beroperasi dalam Malaysia bermula tahun depan. Lesen ini terletak bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata lapan syarikat tersebut adalah WhatsApp, Facebook, Instagram, X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), YouTube, Telegram, WeChat dan TikTok.
Lapan platform ini dipilih kerana jumlah pengguna dalam negara telah pun melebihi lapan juta orang untuk setiap aplikasi. Buat masa ini, kementeriannya sedang berbincang dengan setiap syarikat ini untuk menjelaskan keperluan lesen tersebut.
Beberapa syarikat media sosial ini menentang keperluan lesen kerana ia akan membantutkan inovasi dan memberi cabaran dalam membina pejabat tempatan. Sungguh pun demikian, beliau menegaskan bahawa setiap platform ini perlu mematuhi syarat-syarat oleh kerajaan bagi melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan, perjudian dan kandungan-kandungan lain yang membahayakan.
Beliau juga menekankan bahawa ini bukanlah usaha kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara atau berinovasi. Setakat ini, beliau berkata perbincangan dengan Telegram nampak positif, manakala perbincangan dengan Google dan Meta masih dalam proses.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

