Site icon TechNave BM

Kerana cinta dalam talian, penjawat awam ditipu dan rugi hampir RM150,000

Seorang penjawat awam di Setiu, Terengganu mengalami kerugian RM148,200 selepas beliau menjadi mangsa sindiket penipuan percintaan dalam talian sejak awal bulan ini. Mangsa merupakan seorang ibu tunggal berusia 51 tahun dan telah tertipu dengan mesej yang mula-mula diterima melalui Facebook.

Pada awal bulan ini, beliau menerima mesej daripada satu profil lelaki bernama Azli bin Ahmad yang menggunakan gambar seorang juruterbang sebagai gambar profil. Mereka meneruskan perbualan melalui WhatsApp, dan tidak lama kemudian, suspek menawarkan penghantaran hadiah seperti beg tengan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD10,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim.

Pada 14 Jun pula, mangsa dihubungi oleh seorang individu yang kononnya bertindak sebagai ejen penghantaran dan menyatakan terdapat masalah mengenai sebuah bungkusan yang dihantar kepadanya. Individu tersebut meminta mangsa untuk buat pembayaran duti import dan kos penghantaran bagi melepaskan bungkusan tersebut.

Mangsa ditakutkan lagi dengan ugutan-ugutan palsu, di mana mangsa kononnya terlibat dengan aktiviti jenayah lain dan akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran. Mangsa terpedaya dengan ugutan-ugutan ini dan sepanjang 14 hingga 22 Jun, beliau membuat 23 transaksi ke akaun berlainan berjumlah RM148,200.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Setiu mengatakan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang dalam proses pengumpulan bukti serta pengesanan lokasi suspek.

Kami berharap para pembaca akan terus berwaspada dengan pelbagai penipuan yang berlegar dalam internet pada waktu ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version