Site icon TechNave BM

Kereta elektrik penumpang pertama dunia guna bateri sodium-ion diperkenal

Changan Automobile bersama pembekal bateri CATL memperkenalkan kereta elektrik penumpang pertama dunia yang menggunakan bateri sodium-ion menerusi model Changan Nevo A06. Nevo A06 dilengkapi bateri sodium-ion CATL Naxtra berkapasiti 45 kWh dan menandakan penggunaan komersial pertama teknologi tersebut dalam segmen kenderaan penumpang.

Menurut data ujian yang didedahkan, bateri sodium-ion itu mampu mengekalkan lebih 90 peratus kapasiti pada suhu serendah negatif 40 darjah Celsius selain kekal beroperasi secara stabil dalam persekitaran ekstrem sehingga sekitar negatif 50 darjah Celsius. Prestasi ini dicatatkan menerusi ujian cuaca sejuk yang dijalankan di Inner Mongolia, China.

Dalam keadaan suhu rendah, bateri tersebut juga masih boleh dicas dan digunakan, satu keupayaan yang lazimnya menjadi kekangan utama bagi bateri lithium iron phosphate (LFP) konvensional. Changan Nevo A06 dengan bateri sodium-ion menawarkan jarak melebihi 400 kilometer berdasarkan kitaran ujian CLTC China.

Penggunaan bateri sodium-ion dilihat sebagai alternatif kepada teknologi lithium-ion kerana natrium lebih banyak tersedia secara semula jad, tidak bergantung kepada litium dan berpotensi mengurangkan kos bahan mentah bateri dalam jangka panjang. Teknologi ini sesuai digunakan khususnya di kawasan beriklim sejuk dengan pendekatan penggunaan dwi-kimia bateri bergantung kepada faktor iklim, kos dan keperluan aplikasi kenderaan.

Pelancaran Changan Nevo A06 versi sodium-ion dijadualkan bermula di China sekitar pertengahan tahun 2026 dengan fokus awal diberikan kepada pasaran domestik. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: X Changan

Exit mobile version