Site icon TechNave BM

Kereta elektrik prototaip curi perhatian dalam CES 2020

Walaupun Pameran Elektronik Pengguna (CES) lebih ditujukan kepada peranti-peranti elektronik berskala kecil, kadang-kala terdapat juga beberapa produk besar yang dipamerkan dalam konvensyen itu seperti kereta.

Sebagai contoh, pembina kereta mewah dari Germany, Mercedes-Benz, mempamerkan sebuah kereta konsep yang diinspirasi oleh filem sains fiksyen Avatar. Mercedes bekerjasama dengan pengarah filem itu, James Cameron, untuk membina kereta bernama Vision AVTR yang nampak seperti ia datang dari angkasa lepas.

AVTR yang merupakan singkatan untuk Advanced Vehicle Transformation adalah sebuah kenderaan elektrik canggih yang dibina dengan bahan-bahan mesra alam serta dilengkapi pelbagai teknologi canggih yang boleh diakses pengguna semasa berada dalam kereta tersebut. Malah, kereta itu juga tiada roda stereng, sebaliknya ia dikawal dengan sebuah joystick.

Namun yang menjadi kejutan buat para pengunjung CES 2020 ialah sebuah kereta elektronik daripada Sony. Syarikat elektronik daripada Jepun itu mempamerkan Vision-S, sebuah kereta eletrik prototaip.

Menurut wakil daripada Sony, ini bukanlah bermakna syarikat itu akan menceburi bidang permotoran, sebaliknya kereta tersebut adalah sebuah platform untuk Sony menunjukkan teknologi kenderaannya seperti pemanduan automatik, sistem hiburan dalam kereta dan ciri-ciri keselamatan baharu.

Apakah pendapat anda tentang kereta-kereta yang ditampilkan dalam CES ini? Beritahu kami di Facebook dan terus bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gear Patrol

Exit mobile version