Dalam masa kurang daripada tiga tahun, Xiaomi yang lebih terkenal dengan pembuatan telefon pintar dan peralatan rumah pintar akhirnya telah melancarkan kereta elektrik (EV) SU7 awal tahun ini. Walaupun SU7 Max merupakan pilihan teratas yang mempunyai tahap prestasi seperti Porsche Taycan, Xiaomi masih belum selesai dengan aspirasi prestasinya.
Baru-baru ini, prototaip Ultra Xiaomi SU7 dengan prestasi tinggi yang direka untuk mencabar catatan masa di Nurburgring telah didedahkan. Ia dibangunkan berdasarkan platform SU7 dan menariknya, ia dikuasakan oleh tri-motor yang terdiri daripada dua motor HyperEngine V8s dan satu motor HyperEngine V6s.
Dengan gabungan kuasa 1548 PS (1526hp), Xiaomi mendakwa bahawa SU7 Ultra lebih berkuasa daripada Bugatti Chiron dan McLaren Speedtail. Setiap motor V8s HyperEngine boleh mencapai sehingga 27,200rpm yang menghasilkan 578 PS (570hp) dan 635Nm tork.
SU7 Ultra dikatakan mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 1.96 saat, 0-200km/j dalam masa 5.96 saat dan 0-300km/j dalam masa 15.07 saat. Kelajuan maksimum dikatakan melebihi 350km/j. Ia menggunakan bateri Qilin 2.0 CATL yang menyokong output kuasa 1330kW dengan voltan puncak 897V dan kadar pengecasan 5.2C.
SU7 Ultra masih boleh menjana kuasa sehingga 800kW (1073hp) walaupun tahap bateri berada pada 20%. Bahagian brek hadapan dan belakang menggunakan angkup enam piston berprestasi tinggi AP Racing. Turut digunakan ialah cakera brek lumba ultra-tebal 42mm di hadapan dan cakera 32mm di belakang.
Digabungkan dengan pad brek tahan suhu tinggi dan brek penjanaan semula, ia mendakwa mempunyai pecutan maksimum 2.36g dengan jarak brek 100-0 km/j 25 meter. Seterusnya, prototaip Ultra SU7 hadir dengan 100% gentian karbon untuk kesemua 24 panel badan dengan berat hanya 1900kg.
Xiaomi mendakwa ia lebih ringan secara keseluruhan berbanding BMW M5 (F90), Tesla Model S Plaid (Track Package) dan Porsche Taycan Turbo GT (Weissach Package). Oktober kelak, Xiaomi menyasarkan untuk mencipta rekod pusingan di litar Nürburgring Nordschleife untuk kereta bukan pengeluaran.
Menurut Lei Jun, matlamat utamanya adalah untuk mencipta EV empat pintu terpantas di Nürburgring dalam tempoh 10 tahun. Lei Jun berkata pembangunan EV empat pintu adalah penting untuk menggunakan teknologi mereka pada kereta pengeluaran masa depan.
Beliau berkata tumpuan kepada EV empat pintu adalah disengajakan kerana beliau percaya kenderaan berprestasi tinggi tidak sepatutnya dikhaskan untuk beberapa orang. Anda boleh mengetahui lebih lanjut dengan menyemak halaman prototaip Xiaomi SU7 Ultra.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

