Site icon TechNave BM

Kereta Xiaomi pertama bakal berbentuk SUV atau sedan, bermula ~RM63,100

Pengasas Xiaomi Lei Jun baru-baru ini telah pun mendedahkan pelan syarikat China itu untuk menghasilkan kereta elektrik pertama mereka sewaktu acara pelancaran produk Xiaomi untuk musim bunga 2021. Semalam, beliau telah mengacarakan sebuah siaran langsung di mana beliau berbicara tentang pelbagai topik, termasuklah kereta Xiaomi.

Beliau mengatakan kereta pertama Xiaomi mungkin akan dibuat sebagai sebuah sports utility vehicle (SUV) atau sedan, dengan harga sekitar CNY100,000 hingga CNY300,000 (~RM63,100 hingga ~RM189,300). Di samping itu, beliau turut berkongsi bahawa logo baru Xiaomi adalah lebih sesuai untuk diletakkan pada sebuah kereta berbanding logo sebelum ini.

Lei Jun juga mengutamakan sebuah sistem penghawa dingin yang mampu melembapkan udara (humidification) dan menapis sebarang asap. Sebelum siaran langsung itu, beliau telah mengadakan undian dalam Weibo untuk mengetahui kehendak para peminat Xiaomi tentang kereta pertama oleh syarikat itu.

Undian tersebut mendapati bahawa peminat Xiaomi tidak menginginkan kereta itu untuk menjadi sebuah kereta lumba atau RV dan tidak menginginkan harga lebih CNY100,000. Daripada segi logo, mereka tidak kisah sama ada Xiaomi patut gunakan logo baru atau lama.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kereta Xiaomi dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version