Site icon TechNave BM

Kesan bonggol di permukaan skrin Razr ialah perkara biasa, menurut Motorola

Peminat Motorola boleh membeli telefon pintar lipat Razr tidak lama lagi apabila ia akan dipasarkan bermula 6 Februari. Demi menyambut kedatangan peranti itu ke dalam pasaran, Motorola menerbitkan beberapa video yang mengetengahkan ciri-ciri unik Razr dan juga langkah-langkah untuk menjaga peranti lipat itu.

Yang menarik perhatian dalam salah satu video tersebut bertajuk “Caring For Razr” adalah satu kenyataan yang mengatakan kesan timbul atau bonggol di atas permukaan skrinnya adalah normal kerana skrin itu memang direka untuk dibengkokkan.

Sewaktu telefon lipat Galaxy Fold mula dihantar kepada penerima awal pada awal 2019, paparan telefon tersebut mengalami masalah apabila kesan bonggol muncul di skrinnnya. Oleh yang demikian, video “Caring For Razr” mungkin adalah untuk menjamin pembeli Razr bahawa kesan bonggol adalah sesuatu yang boleh dijangkakan dan tidak akan memberi kesan pada penggunaannya.

Tentunya ini sesuatu yang perlu dimaklumkan kepada pembeli memandangkan teknologi skrin lipat masih berada dalam peringkat awal. Selain panduan di atas, Motorola turut menasihati pengguna untuk melipat telefon itu sebelum memasukkan ia ke dalam poket, elakkan objek tajam dan usah gunakan pelindung skrin.

Adakah anda berminat dengan Razr atau teknologi telefon lipat? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Motorola YouTube

Exit mobile version