Site icon TechNave BM

Kesatuan Eropah ingin syarikat penerbangan sediakan rangkaian 5G dalam kapal terbang

Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan bahawa syarikat penerbangan komersial perlu menyediakan perkhidmatan telekomunikasi 5G kepada para penumpangnya. Ini bermaksud para penumpang tidak perlu lagi mengaktifkan Mod Penerbangan (airplane mode) dalam telefon mereka dan boleh kekal berhubung dalam rangkaian telekomunikasi.

Suruhanjaya EU yang berkenaan akan menggariskan spektrum gelombang yang dikhaskan untuk telekomunikasi mudah alih, bagi memberi ruang untuk frekuensi 5G dalam penerbangan. Sewaktu kapal terbang berada di paras altitud tinggi, teknologi pico-cells akan digunakan bagi menguatkan signal dan menghubungkan kapal terbang dengan menara pemancar di darat.

Dengan teknologi pico-cells, rangkaian telekomunikasi penumpang akan menggunakan frekuensi 5GHz, jauh berbeza dengan komunikasi kokpit juruterbang yang menggunakan frekuensi 4.2-4.4GHz bagi mengelakkan pertembungan frekuensi di antara kedua-dua komunikasi dan menjaga keselamatan.

Buat masa ini, para penumpang yang ingin menggunakan internet dalam kapal terbang perlu membeli akses Wi-Fi penerbangan yang tidak termasuk dalam tiket penerbangan mereka.

Selain itu, EU juga sedang memperkenalkan jurang frekuensi 5GHz secara Wi-Fi untuk kenderaan di darat seperti bas dan kereta. Kemudahan ini akan disediakan di Eropah selewat-lewatnya 30 Jun 2023.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: European Commission

Exit mobile version