Site icon TechNave BM

Ketiadaan peminat dalam stadium sewaktu perlawanan EPL diganti bunyi sorakan dari ‘game’ FIFA

Liga bola sepak terkemuka di United Kingdom, Liga Perdana Inggeris (EPL), bakal menyambung semula jadualnya selepas ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, para peminat masih tidak dibenarkan untuk hadir ke stadium sewaktu perlawanan berlangsung, sebagai langkah penjarakan sosial untuk membendung wabak itu.

Berikutan isu ini, saluran televisyen Sky Sports akan bekerjasama dengan divisyen FIFA dalam EA Sports untuk mensimulasikan sorakan dan sahutan para peminat dengan menggunakan audio daripada game FIFA. Ini diharapkan dapat mengurangkan rasa janggal buat peminat di rumah yang menonton siaran langsung perlawanan EPL tanpa sebarang sorakan oleh para peminat di stadium.

Sky Sports juga telah membina aplikasi khas yang membenarkan penonton untuk mendirikan sebuah ‘video room’ bersama rakan-rakan mereka dan tonton sebuah perlawanan EPL bersama-sama. Ini juga diharapkan boleh mencipta semula suasana sorak-menyorak dalam perlawanan bola sepak, walaupun jika mereka tidak berada dalam lokasi yang sama.

Perlawanan EPL dijadualkan untuk bersambung pada Rabu, 17 Jun dengan perlawanan antara Aston Villa dengan Sheffield United, serta Manchester City melawan Arsenal. Beritahu kami di Facebook bagaimana anda merancang untuk menonton bola sepak EPL pada waktu pandemik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version