Selepas kerajaan Australia memperkenalkan sekatan untuk kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun terhadap platform media sosial popular seperti YouTube dan Instagram, kini mereka meluaskan sekatan tersebut terhadap dua lagi laman web popular iaitu Reddit dan Kick.
Reddit merupakan sebuah laman web agregat berita di mana pengguna boleh berkongsi sebarang kandungan kemudian ia akan diundi naik atau turun oleh para pengguna lain, manakala Kick merupakan sebuah laman web siaran langsung (livestream).
Menteri Komunikasi Australia Anika Wells berkata beliau telah bertemu dengan pihak platform media sosial pada bulan lalu dan mendesak mereka untuk menguat kuasakan sekatan tersebut. Bermula 10 Disember 2025, mana-mana platform media sosial yang gagal akur dengan sekatan itu akan dikenakan denda sehingga AUD49.5 juta.
Pada waktu ini, sembilan platform media sosial tidak boleh diakses oleh individu bawah 16 tahun di Australia iaitu Snapchat, TikTok, YouTube, X, Facebook, Instagram, Threads, Reddit dan Kick.
Semua syarikat ini sudah memulakan proses untuk memadamkan atau menyahaktifkan akaun-akaun yang dimiliki oleh individu berumur 16 tahun dan ke bawah.
Wells berkata media sosial masih mempunyai tempat di Australia, namun mereka perlu lindungi kanak-kanak daripada algoritma dan kandungan bahaya serta populariti beracun yang mampu memanipulasi kanak-kanak Australia.
Suruhanjaya eKeselamatan Australia Julie Inman Grant pula berkata dengan melengahkan akses media sosial kepada kanak-kanak, ia akan memberi ruang kepada mereka untuk belajar dan membesar tanpa dipengaruhi algoritma yang meragukan atau menonton siaran media sosial tanpa henti.
Di Malaysia, kerajaan sedang memerhati pelaksanaan sekatan ini di Australia. Kerajaan sudah pun berkata mereka mempertimbangkan untuk menyekat game popular Roblox dan melihat bagaimana kerajaan Australia akan menangani isu ini.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ABC

