Site icon TechNave BM

Kini TikTok pula lancarkan fungsi Stories, video yang terpadam sendiri selepas 24 jam

Sejak Snapchat memperkenalkan format video yang boleh dipadam secara automatik selepas tempoh 24 jam, pelbagai perkhidmatan media sosial lain telah meniru fungsi tersebut termasuklah Facebook, YouTube, Spotify dan WhatsApp. Kini lagi satu media sosial popular akan mengadaptasi format tersebut iaitu TikTok.

Fungsi tersebut bakal dinamakan TikTok Stories dan pengguna boleh berkongsi video yang hanya ingin dipaparkan selama 24 jam. Seperti perkhidmatan lain yang serupa, para pengikut boleh menonton video TikTok Stories dan meninggalkan komen.

Seperti video dalam mod biasa, TikTok Stories boleh dihiasi dengan kapsyen, muzik dan efek khas. Walau bagaimanapun, ia hanya akan dihadkan kepada video sahaja.

TikTok masih belum memberikan maklumat rasmi tentang tarikh pelancarannya, namun beberapa pengguna telah pun melaporkan bahawa mereka sudah boleh menggunakan fungsi TikTok Stories.

Pelbagai perkhidmatan media sosial telah meniru fungsi yang dipelopori oleh Snapchat ini dan kebanyakannya telah disambut dengan baik oleh para pengguna. Walau bagaimanapun, tidak semua media sosial berjaya memperkenalkan fungsi ini dengan berjaya. Contohnya, Twitter telah memperkenalkan Twitter Fleets pada awal tahun ini namun ia telah ditamatkan pada bulan Julai 2021 selepas ia tidak disambut dengan meluas.

Beritahu kami di Facebook jika anda teruja dengan fungsi baru TikTok ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version