Site icon TechNave BM

Kini twit berbayar menjadi realiti! Twitter perkenal ciri baru Super Follows dan Communities

Terbaru, Twitter telah memperkenalkan dua ciri baru yang akan dimasuklah ke dalam platform mereka. Yang pertama adalah Super Follows, iaitu ciri premium pertama dari Twitter manakala yang kedua adalah Communities, ciri kumpulan baru untuk pengguna aplikasi mereka.

Super Follows membolehkan pengguna untuk mengenakan caj kepada pengikut mereka yang ingin mengakses kandungan yang istimewa. Untuk harga bulanan yang ditetapkan, pengikut Super Follows ini boleh melihat kandungan istimewa, mendapat khabar terkini yang khas, promosi barang, akses komuniti, lambang pengikut istimewa dan banyak lagi.

Ciri ini berfungsi seperti ciri keahlian (membership) yang sudah ada di Patreon dan YouTube. Ia membolehkan pengguna untuk menghasilkan pendapatan melaluinya dan juga ia membolehkan Twitter memperoleh sebahagian dari pendapatan tersebut.

Manakala untuk ciri Communities (komuniti) pula, pengguna boleh mencipta dan menyertai kumpulan yang mempunyai tema atau minat yang sama. Ciri ini berfungsi seperti ciri Group yang sudah lama ada di Facebook.

Buat masa ini, Twitter tidak menyatakan bila ciri baru ini akan mula dimasukkan ke platform mereka. Kami menjangkakan ia mungkin akan diperkenalkan di sesetengah negara dahulu sebelum dilancarkan secara global.

Berikan komen anda mengenai ciri baru Twitter ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : 1 | 2

Exit mobile version