Site icon TechNave BM

KKD: 350 menara telekomunikasi yang rosak akibat banjir telah dinaik taraf

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa mereka telah menaik taraf 350 menara telekomunikasi di seluruh negara yang terjejas akibat banjir sejak 2014.

Menurut menteri KKD, Fahmi Fadzil, kerja penaiktarafan itu turut melibatkan negeri-negeri Pantai Timur, termasuklah 127 tapak menara di Kelantan. Beliau berkata maklumat terperinci untuk setiap negeri akan diberikan pada masa hadapan, cuma proses menaik taraf di Kelantan masih berjalan dan perlu dipercepatkan.

Proses penaiktarafan ini penting supaya tiada masalah telekomunikasi yang timbul apabila bencana banjir melanda dan rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah, berkata naik taraf untuk tapak menara telekomunikasi dilakukan antara paras satu hingga empat meter dengan kos bermula RM60,000 hingga RM180,000, namun bergantung kepada persekitaran dan kesesuaian tempat.

Sewaktu banjir pada Disember 2022 pula, sebanyak 100 tapak menara telah terjejas akibat pemotongan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kini SKMM mendapat kerjasama yang baik dengan pihak TNB.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version