Sejak kerajaan Indonesia mengharamkan platform e-dagang TikTok Shop pada bulan lalu, ramai pengguna TikTok di Malaysia mula risau jika kerajaan akan mula mengambil langkah yang serupa. Kini Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata kementeriannya akan berbincang dengan agensi kerajaan serta kementerian-kementerian lain mengenai aspek kawal selia TikTok Shop.
Menurutnya, beliau telah mendapat maklumat asas mengenai demografi pengguna dan barangan yang dijual dalam TikTok Shop, selepas Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching bertemu dengan pihak TikTok pada Khamis lepas.
Kini, beliau akan bertemu dengan beberapa agensi kerajaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkenaan isu tersebut. KKD dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekadar mengawal selia penggunaan rangkaian dan perlu berbincang dengan kementerian lain untuk menangani isu melibatkan e-dagang.
Sebelum ini, Fahmi berkata beliau akan meneliti terlebih dahulu berkenaan tindakan kerajaan Indonesia yang mengharamkan TikTok Shop. Beliau telah menerima pertanyaan daripada orang awam jika kerajaan Malaysia akan mengikut langkah yang serupa, namun pada masa yang sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu persaingan harga terhadap produk yang dijual menerusi platform TikTok Shop.
Selain daripada isu itu, beliau juga akan bertemu dengan pihak TikTok bagi membincangkan beberapa aduan daripada pengguna di mana mereka dihalang membuat siaran langsung TikTok Live berkenaan isu Palestin.
Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap pihak TikTok yang masih belum melantik wakil khas untuk Malaysia. Beliau terpaksa menunggu para pegawai datang dari Singapura, Filipina dan lain-lain negara dan itu akan melewatkan proses perbincangan dengan TikTok.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

