Site icon TechNave BM

KKD akan umum pelaksanaan 5G yang ditambah baik pada Mac 2023

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata kerajaan bakal mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) yang mempunyai beberapa penambahbaikan pada bulan Mac 2023.

Buat masa ini, DNB sedang menilai pilihan yang ada bagi memasitkan pelaksanaan 5G yang ditambah baik itu bukan sahaja akan mencapai sasaran 80 peratus, malah turut diperluas kepada kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Penambahbaikan 5G ini diambil bagi membantu pengurusan perusahaan syarikat dan kilang untuk berkomunikasi dengan pantas serta meningkatkan produktiviti mereka. Ia boleh menghantar data yang lebih banyak untuk meningkatkan pembelajaran mesin (machine learning) dalam kalangan sistem Internet Pelbagai Benda (IoT).

Beliau memberi contoh bagaimana 5G boleh membantu kerajaan tempatan dalam menangani isu trafik, daripada data yang sampai ke pusat yang menguruskan lampu isyarat dalam masa nyata (real-time), lantas membantu kerajaan tempatan untuk mengetahui keadaan bandar.

Buat masa ini, rakyat Malaysia sudah pun boleh mengakses rangkaian 5G yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi utama seperti Celcom, Digi, U Mobile dan YES. DNB melaporkan bahawa rangkaian 5G tempatan sudah pun mencapai lebih 50 peratus kawasan berpenduduk pada hujung 2022.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version