Site icon TechNave BM

KKD fokus ‘tenteramkan’ media sosial – Fahmi Fadzil

Kerajaan akan terus menghormati hak kebebasan bersuara termasuk di media sosial tetapi pengguna diingatkan supaya tidak menimbulkan fitnah dan menyemai benih kebencian untuk menimbulkan kekacauan dalam negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pelbagai berita palsu dan fitnah timbul semasa dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan negara mengalami Parlimen tergantung. Beliau berkata negara kini ditadbir oleh kerajaan perpaduan dan tumpuan sekarang adalah untuk berusaha memacu negara ke arah yang lebih baik.

“Seperti…pantaulah kerajaan. Itu moto sangat baik, tapi janganlah sampai jadi fitnah tak berasas, menanam bibit kebencian, ektremisme, saya sangat terkesan apabila PRU (lalu), kadang-kadang (hal) yang disebut agak keterlaluan, nak berpolitik, politiklah, tapi bersederhana.” katanya ketika hadir sebagai tetamu program ‘Agenda Awani’ malam tadi.

Menyentuh tentang kebebasan media, Fahmi berkata selagi ia berada dalam lingkungan undang-undang, media adalah bebas dan berhak melaporkan perkembangan semasa. Beliau bagaimanapun berkata, selain memahami batas undang-undang, batas kesopanan juga perlu diambil kira ketika melaporkan berita.

“Boleh memantau, saya lihat ada keperluan media menjalankan tugas, media ialah darjat wartawan, salah satu tiang seri demokrasi, jadi jalankanlah tetapi tidak boleh sehingga disalah tafsir, perlekehkan agama, Institusi Diraja, kita ada hadnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai liputan internet di negara ini, Fahmi berkata perbincangan telah dibuat dengan pihak terbabit termasuk penyedia perkhidmatan supaya kos dapat dikurangkan untuk rakyat. Terdahulu, Fahmi berkata KKD sedang mengadakan perbincangan dengan pemain industri untuk menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version