Site icon TechNave BM

KKD lancarkan Pakej Perpaduan untuk perkhidmatan telko prabayar mampu milik, bermula RM30

Pada hari ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melancarkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan akses telekomunikasi mudah alih dengan harga yang lebih berpatutan.

Pakej ini akan ditawarkan sehingga 31 Disember 2023 dan menawarkan kuota data 30GB pada kelajuan 3Mbps yang boleh digunakan dalam tempoh 180 hari, pada harga RM30 sahaja. Kebanyakan syarikat telekomunikasi akan menawarkan pelan ini, termasuklah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile, Yes, OneXOX, Mcalls dan TuneTalk.

Pakej ini yang menggantikan Pakej Remaja sebelumnya akan disasarkan kepada golongan belia bawah umur 30 tahun, warga emas, pesara anggota beruniform, orang kurang upaya (OKU) dan rakyat B40.

Beberapa syarikat telekomunikasi telah pun mengumumkan Pakej Perpaduan masing-masing kepada para pelanggan, termasuklah CelcomDigi dan U Mobile. Untuk U Mobile, mereka menjelaskan bahawa data 30GB itu boleh digunakan dalam mod hotspot untuk semua aplikasi.

Para pelanggan U Mobile yang layak untuk membeli Pakej Perpaduan boleh mendapatkannya dalam aplikasi MyUMobile jika mereka sudah melanggan kepada U Mobile 5G Prepaid Pack dengan cara berikut:

  1. Buka aplikasi MyUMobile
  2. Tekan “Add Ons” dan pergi ke “Others”
  3. Langgan kepada Pakej Perpaduan

Sementara itu, CelcomDigi mengumumkan bahawa pelanggan yang memerlukan lebih banyak data selepas tempoh enam bulan, boleh melanggan kepada mana-mana pelan internet Celcom atau Digi serendah RM3.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan melanggan kepada Pakej Perpaduan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version