Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil mengatakan peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia telah pun mencapai 59.5 peratus setakat penghujung April 2023.
Dalam pada itu, capaian 5G di Sarawak pula telah mencapai sekitar 34 peratus. Beliau berpendapat peratusan ini masih belum mencukupi dan meminta kerajaan negeri Sarawak untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyenaraikan beberapa lokasi untuk diberi capaian 5G.
Beliau berkata kerjasama ini penting untuk memastikan lokasi yang diingini kerajaan negeri Sarawak itu boleh diedarkan (rollout) dalam masa terdekat.
Pada awal tahun ini, Digital Nasional Berhad (DNB) melaporkan bahawa rangkaian 5G negara telah pun meliputi hampir 50 peratus kawasan berpenduduk. DNB menyasarkan untuk mencapai liputan sebanyak 80 peratus pada hujung 2024, di mana selepas itu pembangunan infrastruktur 5G negara akan ditangani oleh pihak swasta.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

