Site icon TechNave BM

KKD: Malaysia perlukan 12,000 tenaga pakar untuk atasi ancaman siber

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata Malaysia mengalami kekurangan sebanyak 12,000 pakar keselamatan siber daripada pelbagai bidang dalam menangani isu serangan siber tempatan. Ini merupakan salah satu cabaran dalam usaha kerajaan untuk memacu agenda pendigitalan negara.

Buat masa ini, negara hanya mempunyai 15,000 pakar keselamatan siber, jauh daripada 27,000 pakar yang diperlukan. Beliau berkata syarikat yang banyak terlibat dengan ekonomi digital sangat mementingkan isu keselamatan siber dan ada keperluan mendesak untuk menubuhkan unit keselamatan siber sendiri.

Bergantung kepada saiz, setiap syarikat mungkin mempunyai 20 ke 30 pakar keselamatan siber. Buat masa ini, KKD menerusi CyberSecurity Malaysia akan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor tersebut, seperti bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta membawa masuk pakar dari luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga dalam pembentangan Belanjawan 2024 menjelaskan bahawa beliau akan perkenalkan beberapa insentif seperti menggalakkan rakyat Malaysia untuk kembali ke tanah air melalui TalentCorp serta menarik minat warga asing untuk bekerja di sini.

Setakat ini, KKD masih belum meletakkan sebarang sasaran tentang usaha mereka dalam memenuhi keperluan tenaga pakar keselamatan siber, kerana perkembangan industri itu yang pesat.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version