Site icon TechNave BM

KKD: Pengguna tidak akan terjejas jika kerajaan ambil tindakan terhadap Telegram

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa jika kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap Telegram, para pengguna aplikasi pemesejan itu tidak akan terjejas.

Baru-baru ini, beliau mengatakan Telegram adalah satu-satunya perkhidmatan media sosial yang gagal memberikan kerjasama dengan KKD, tidak seperti Meta, Twitter dan TikTok yang bekerjasama rapat dengan kementerian tersebut. Telegram dilihat sebagai aplikasi yang banyak disalah guna untuk penyebaran penipuan, dadah dan kandungan lucah.

Susulan daripada itu, Telegram mengeluarkan kenyataan bahawa mereka enggan bekerjasama dengan KKD kerana tidak mahu terlibat dengan sebarang bentuk penapisan politik.

Setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas Telegram. Sungguh pun begitu, sebarang tindakan yang akan diambil tidak akan menjejaskan para pengguna.

Beliau sedar bahawa aplikasi ini masih banyak digunakan untuk tujuan yang elok seperti perkongsian fail untuk pelajar sekolah serta penghantaran video dan imej dalam kalangan pengamal media.

Jika terdapat tindakan yang diambil terhadap Telegram, KKD akan memberi sedikit masa kepada pengguna sekiranya perlu ada peralihan mencari platform yang baru.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version