Site icon TechNave BM

KKD: Setiap kementerian perlu tubuhkan jawatan khas untuk tingkatkan keselamatan siber

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) YB Fahmi Fadzil berkata setiap kementerian dalam kerajaan perlu mewujudkan sebuah jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat bagi meningkatkan tahap keselamatan siber kerajaan dan mengelakkan isu pencerobohan data seperti yang berlaku terhadap pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baru-baru ini.

Beliau berkata jawatan tersebut perlu ditubuhkan dengan kerjasama oleh Ketua Setiausaha, Ketua Pegawai Eksekutif dan peringkat tertinggi kementerian bagi menangani ancaman siber yang menjadi cabaran semakin besar. Pihak penggodam dilihat menggunakan kaedah yang semakin kreatif dan mungkin menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menceroboh, menggodam dan mencuri data rakyat.

Di samping itu, modul sesawang setiap kementerian juga perlu ditambah baik dan ia akan memerlukan satu perancangan khusus dalam peringkat kementerian.

Kejadian godaman yang melanda PERKESO itu berlaku pada Jumaat lepas, di mana agensi tersebut mengesahkan bahawa lamannya telah menjadi mangsa serangan penggodam dan pangkalan datanya telah diceroboh. Sungguh pun begitu, hasil penelitian awal oleh PERKESO mendapati kesahihan data yang dicuri itu tidak lengkap atau telah luput.

Selain Fahmi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata kerajaan kini sedang memperkukuhkan keselamatan siber bagi mengelakkan insiden serangan siber terhadap PERKESO itu daripada berulang pada masa hadapan. Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjanlinkan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan untuk mengekang serangan siber.

Agensi kerajaan lain seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi pula sedang menjalankan siasatan berkenaan data PERKESO yang telah digodam.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA, BERNAMA

Exit mobile version