Site icon TechNave BM

KKD: SKMM perlu selesaikan isu kualiti syarikat telko sebelum Jun 2023

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu meneliti dan menyelesaikan isu berhubung kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata kualiti rendah oleh syarikat telekomunikasi sering menjadi rungutan orang ramai kerana mereka sukar mendapatkan akses internet di kawasan-kawasan tertentu. SKMM digesa untuk menyelesaikan masalah ini sebelum bulan Jun 2023.

Beliau memberi contoh di mana pengguna tidak dapat menerima akses rangkaian yang baik apabila mereka masuk ke dalam bangunan. Selain itu, pengguna turut mengalami masalah telekomunikasi di lebuh raya dan sesetengah stadium.

Menurutnya lagi, syarikat telekomunikasi sering bertindak cepat untuk memotong perkhidmatan kepada pelanggan yang lambat membayar bil, namun apabila syarikat itu gagal menyediakan perkhidmatan yang memuaskan, mereka langsung tidak menerima apa-apa kesan.

Di samping itu, KKD juga akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rangkaian internet di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli bagi membabitkan mereka dalam ekonomi digital. Ia merangkumi 3,000 kawasan dengan jumlah penduduk sekitar 50 hingga lebih 100 orang.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version