Baru-baru ini, kerajaan dilihat mula memecahkan monopoli oleh syarikat-syarikat besar di seluruh negara, seperti yang boleh dilihat pada perancangan untuk membuka lebih banyak kaedah pembayaran di tol lebuhraya selain daripada sistem Touch ‘n Go sahaja.
Kini terdapat pihak yang berpendapat monopoli oleh Digital Nasional Bhd (DNB) terhadap infrastruktur 5G negara juga perlu ditamatkan. DNB adalah sebuah syarikat kenderaan tunggal khas (special purpose vehicle, SPV) dan bertindak sebagai satu-satunya syarikat yang membangunkan infrastruktur 5G kebangsaan secara rangkaian borong tunggal (single wholesale network, SWN).
Sungguh pun begitu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjelaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk DNB setakat ini. Beliau merancang untuk memberi kata putus dalam masa seminggu atau dua minggu lagi.
Beliau juga menjelaskan bahawa kementerian itu tidak akan hanya fokus pada sudut monopoli sahaja dan akan melihat daripada sudut lain juga untuk hala tuju syarikat tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjelaskan bahawa kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan 5G di Malaysia, kerana kerajaan sebelumnya tidak mengurus DNB secara telus.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: New Straits Times

