Site icon TechNave BM

KKM galak rakyat sentiasa hidupkan Bluetooth untuk manfaat MySJ Trace

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya menggunakan ciri yang baru ditambah dalam aplikasi MySejahtera sebagai langkah pencegahan tambahan terhadap Covid-19. Menteri KKM, Khairy Jamaluddin berkata fungsi MySJ Trace menggunakan Bluetooth untuk mengesan kontak rapat mereka yang telah diuji positif Covid-19.

Beliau mengesyorkan agar orang ramai menghidupkan Bluetooth mereka di kawasan awam. Memandangkan ia tidak wajib, beliau akan memerhatikan penerimaan dan pendapat orang ramai mengenai ciri itu. Jika kadar maklum balas adalah rendah, pihaknya perlu menyemak semula.

Mengenai kebimbangan mengenai pelanggaran privasi data, beliau memberi jaminan bahawa butiran pengguna aplikasi MySejahtera tidak akan disimpan oleh KKM. Jika mengikut piawaian Google dan Apple, aplikasi ini tidak dibenarkan untuk digunakan jika melanggar privasi pengguna.

Pembangun aplikasi amat menitikberatkan tentang perkara ini. Aplikasi ini terlebih dahulu akan meminta kebenaran daripada pengguna jika mereka sudi berkongsi status mereka sebagai kontak rapat dengan orang lain. Ini adalah langkah untuk terus melindungi diri anda bagi mencegah penularan wabak Covid-19 sambil kita belajar untuk hidup dengan virus itu.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi baharu MySejahtera ini dalam Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: New Straits Times

Exit mobile version