Site icon TechNave BM

Siri komputer riba HONOR MagicBook 14 dan 15 dilancarkan, menampilkan hayat bateri 10 jam dengan harga ~RM2,752

HONOR dalam sebuah sidang media pada hari ini melancarkan MagicBook 14 dan 15, model komputer riba yang menampilkan rekaan kompak dengan hayat bateri yang panjang. Ia dilengkapi skrin HONOR FullView dengan bezel 4.8mm, membuatkan nisbah skrin-ke-badan setinggi 84%. Beza MagicBook 14 dengan MagicBook 15 hanyalah pada skrinnya; MagicBook datang dengan skrin 14 inci manakala MagicBook 15 pula 15.6 inci.

Bateri MagicBook 14 ini mampu bertahan sehingga 10 jam dan boleh dicas semula dengan pengecas pantas Type-C 65W di mana bateri boleh dicas 46% dalam masa 30 minit sahaja. Komputer tersebut akan dikuasai pemproses AMD Ryzen 5 dan disejukkan dengan kipas berbentuk S yang memperbaiki aliran udara dan haba sehingga 38%.

Dengan ketebalan 15.9mm dan berat 1.38kg, ia memang mudah dibawa ke mana-mana. Engselnya pula amat fleksibel di mana komputer tersebut boleh diluruskan sehingga 180 darjah. Butang kuasa (power button) juga bertindak sebagai pengimbas cap jari untuk keselamatan yang lebih kukuh. Untuk menjaga privasi pengguna pula, kamera webcam disembunyikan di bawah papan kekunci dan boleh diakses dengan menekan sebuah butang mudah.

Ia akan dijual pada harga €599 (~RM2,752) untuk pasaran Eropah bermula akhir Mac depan. Setakat ini masih tiada maklumat tentang harganya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk membeli komputer riba Honor ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version