Site icon TechNave BM

Komputer riba Windows dengan cipset Snapdragon akan datang ke Malaysia pada 2021

Selepas mengumumkan cipset Qualcomm Snapdragon 8cx Gen 2 untuk komputer riba, Qualcomm telah menganjurkan sesi pembentangan secara atas talian untuk memaklumkan perancangannya tentang pelancaran komputer riba Windows on Snapdragon di Asia Tenggara. Mereka telah bekerjasama dengan beberapa jenama komputer untuk melengkapkan cipset Snapdragon 850 dan Snapdragon 7c dalam komputer yang akan dilancarkan pada Q1 atau Q2 2021.

Qualcomm mengatakan ujian awal untuk komputer dengan cipset Snapdragon 8cx Gen 2 menunjukkan prestasi yang lebih pantas berbanding cipset pesaing yang setaraf iaitu Intel Core i5 generasi ke-5. Ini bermaksud komputer riba boleh beroperasi dengan lebih senyap dan mempunyai bateri yang tahan lebih lama, namun tiada ukuran spesifik telah diberikan.

Qualcomm juga telah bekerjasama dengan Microsoft untuk memastikan kesesuaian aplikasi (application compatibility) berfungsi dengan baik. Daripada segi jenama komputer riba pula, Qualcomm tidak menjelaskan secara spesifik namun kami menjangkakan sebuah komputer Microsoft Surface dengan cipset Snapdragon akan dilancar dalam masa terdekat.

Adakah anda berminat untuk memiliki komputer dengan cipset Snapdragon pada 2021? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version