Site icon TechNave BM

Kongsi akaun Netflix lepas ni lagi susah? Setiap profil kini perlu e-mel yang berbeza

Nampaknya langkah Netflix untuk mengehadkan perkongsian akaun masih belum selesai. Selepas memperkenalkan sistem “Household” beberapa tahun lalu, kini platform penstriman itu dilaporkan sedang menguji satu lagi perubahan baharu yang memerlukan setiap profil dalam akaun yang sama menggunakan alamat emel berbeza.

Sebelum ini, pengguna boleh menggunakan satu emel dan satu kata laluan untuk mengurus sehingga lima profil dalam satu akaun. Namun berdasarkan laporan dan maklum balas pengguna, sesetengah akaun kini mula menerima paparan baharu yang meminta setiap profil menambah emel sendiri.

Menurut mesej yang dipaparkan Netflix, perubahan ini bertujuan memudahkan proses log masuk, pemulihan akaun dan memberikan pengalaman yang lebih diperibadikan kepada setiap pengguna. Dengan cara baharu, setiap profil boleh menerima kod pengesahan dan tetapan tertentu tanpa perlu bergantung kepada pemilik utama akaun.

Namun seperti biasa, ramai pengguna melihat ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha Netflix untuk terus mengawal perkongsian akaun dan mungkin memudahkan pemisahan pengguna kepada langganan berasingan pada masa akan datang. Buat masa ini, ciri tersebut dilaporkan masih dilaksanakan secara berperingkat dan belum diwajibkan kepada semua pengguna.

Kalau anda masih berkongsi akaun dengan ahli keluarga, perubahan ini mungkin tidak memberi kesan besar. Tetapi untuk pengguna yang masih berkongsi merentas rumah atau kumpulan kawan, ia mungkin satu lagi tanda bahawa Netflix mahu setiap pengguna mempunyai identiti akaun yang lebih tersusun.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Police

Exit mobile version