Microsoft dilaporkan tidak akan melancarkan peranti mudah alih Xbox tahun ini meskipun terdapat spekulasi mengenai pembangunan sebuah konsol mudah alih khas untuk permainan Xbox. Sebaliknya, syarikat teknologi gergasi itu kini memberi tumpuan kepada penyatuan platform permainan Xbox dan Windows bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
Menurut laporan dari The Verge, Microsoft sedang bekerjasama dengan ASUS untuk membangunkan sebuah peranti permainan mudah alih dengan kod nama Project Kennan. Peranti ini dijangka akan menggunakan sistem operasi Windows tetapi dengan antara muka yang dioptimumkan menyerupai Xbox.
Microsoft turut merancang untuk mewujudkan sebuah kedai permainan gabungan yang menyokong permainan Xbox dan PC. Ia sekali gus memudahkan pembangunan dan akses permainan merentas platform. Langkah ini bertujuan untuk memperkuat kedudukan Microsoft dalam pasaran permainan dengan membolehkan permainan Xbox berjalan lancar pada Windows.
Strategi ini juga berpotensi membawa perubahan besar kepada konsol Xbox pada masa depan di mana Microsoft mungkin akan mengadaptasi lebih banyak ciri berasaskan PC ke dalam ekosistem Xbox. Walaupun peranti mudah alih Xbox rasmi daripada Microsoft masih belum disahkan, usaha ASUS dalam Project Kennan mungkin menjadi petunjuk awal ke arah peralihan Xbox.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

