Selepas berbulan-bulan spekulasi, tarikh pelancaran untuk konsol tangan Xbox yang dinanti-nantikan akhirnya mula terjawab. Laporan baharu mendedahkan bahawa ROG Xbox Ally dan Ally X akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Eropah pada 16 Oktober ini. Walaupun masih belum jelas sama ada tarikh yang sama akan digunakan untuk pasaran lain seperti Amerika Syarikat, pengumuman rasmi dijangka dibuat semasa acara Xbox di Gamescom pada 20 Ogos, di mana pra-tempahan juga dijangka akan dibuka. Konsol ini dibangunkan bersama ASUS dan bakal dipamerkan secara langsung di acara tersebut di Cologne dengan pengunjung berpeluang mencubanya sendiri.
Daripada segi harga, ROG Ally dijangka dijual pada harga €599(~RM3,085) manakala Ally X pula sekitar €899(~RM4,628) di Eropah. Jika dibandingkan dengan harga ROG Ally sedia ada, pelancaran di AS mungkin akan berada dalam lingkungan $649(~RM3,150) dan $799(~3,875). Konsol ini dijangka boleh didapati melalui pelbagai peruncit utama seperti Amazon, Micromania dan Boulanger bukan hanya melalui kedai rasmi Microsoft. Ini memberi harapan kepada pengguna untuk mendapatkan unit tanpa kesukaran, berbeza dengan aksesori edisi terhad Xbox sebelum ini yang sukar diperoleh.
Walaupun khabar angin sebelum ini hanya menyebut jangka masa pelancaran pada bulan Oktober, ini adalah kali pertama tarikh tepat dilaporkan dengan keyakinan. Jika Xbox mengesahkannya di Gamescom, para peminat tidak perlu menunggu lama lagi. Dengan kerjasama erat bersama ASUS dan strategi pasaran yang lebih meluas, siri ROG Ally ini mungkin menjadi langkah besar Xbox dalam meneroka dunia permainan mudah alih.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber : Android Authority

