Site icon TechNave BM

Konsol Steam Deck sah boleh mainkan DOTA 2, sokong penambahan storan dalaman

Pada minggu lepas, syarikat pembina permainan video Valve Software telah melancarkan sebuah konsol gaming mudah alih bernama Steam Deck dan ia telah pun mendapat sambutan menggalakkan di kalangan netizen antarabangsa. Walau bagaimanapun, masih banyak persoalan yang timbul tentang penggunaannya.

Antara persoalan yang ditanya ramai adalah sama ada Steam Deck boleh memainkan game PC popular DOTA 2. Kini CEO Valve Software, Gabe Newell, sendiri sudah mengesahkan bahawa ia boleh memainkan game tersebut. Beliau telah menjawab soalan itu melalui satu emel daripada para peminatnya, dan emel tersebut telah dikongsi dalam Reddit.

Selain itu, Gabe juga dilapor telah mengesahkan bahawa pemain boleh menambah kapasiti storan dalaman SSD yang dilengkapkan dalam Steam Deck. Ini adalah berlainan sedikit dengan kenyataan daripada wakil Valve di mana pada asalnya mereka mengatakan storan hanya boleh dibesarkan melalui microSD dan bukannya dengan menambah kapasiti SSD.

Steam Deck dalam varian 64GB akan mempunyai slot M.2 kosong di dalamnya yang membolehkan pengguna untuk memasang SSD NVMe dalam slot tersebut. Walau bagaimanapun, Valve tidak menggalakkan pengguna untuk berbuat demikian kerana prosesnya adalah sangat rumit, ia melibatkan pengguna untuk membuka lapisan perlindungan EMI (electromagnetic interference) dan sinki haba, serta menamatkan waranti untuk produk tersebut.

Steam Deck hanya akan dijual di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Kesatuan Eropah pada tahun ini, manakala pasaran antarabangsa akan dilancar pada 2022. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan konsol mudah alih ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave CN

Exit mobile version