Site icon TechNave BM

KPDNHEP dan Touch ’n Go bakal adakan pertemuan berkenaan isu bekalan kad NFC TnG

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan bahawa ia dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak Touch ’n Go minggu ini untuk membincangkan kekurangan bekalan kad TnG NFC terbaharu dan status kaedah penjualan mereka.

Selain itu, kementerian juga telah mengeluarkan enam notis kepada pihak yang didapati menjual kad TnG pada harga yang terlalu tinggi. Seperti yang dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama, kad TnG itu berharga RM10 oleh Touch ’n Go tetapi KPDNHEP telah mengesan ia dijual sehingga 5 kali ganda harga melalui platform pasaran dalam talian.

Kementerian juga telah menerima empat aduan rasmi berhubung perkara itu dan mengesan 13 iklan jualan kad membabitkan beberapa platform dalam talian. Siasatan awal mengenai perkara itu mendapati ketersediaan kad TnG di platform dalam talian melibatkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan kementeriannya telah menjalankan semakan dan maklumat daripada pengurus platform pasaran dalam talian serta di 11 premis termasuk kediaman persendirian dan bangunan perniagaan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, enam notis telah dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pihak berkenaan. Tambahan, mereka dikehendaki mengemukakan maklum balas atau penjelasan rasmi kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas. Kad TnG NFC dijual pada harga RM10 di stesen minyak terpilih atau melalui transaksi dalam talian menggunakan aplikasi TnG dan Lazada.

Bagaimanapun, kedua-dua saluran penjualan kad itu dilaporkan mengalami bekalan terhad sejak April tahun ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version