Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan moden yang mempengaruhi pelbagai aspek termasuk industri muzik. Teknologi ini memberikan peluang kepada pencipta kandungan untuk menghasilkan muzik serta mencipta bunyi baharu yang mengubah landskap industri kreatif.
Antara pelopor dalam inovasi ini ialah kumpulan KRU yang baru-baru ini melancarkan video muzik terbaharu mereka bertajuk Voodoo. Menariknya, video muzik tersebut menggabungkan elemen nostalgia dari era terdahulu dengan teknologi moden yang menampilkan teknologi AI generatif untuk mencipta “kembar digital” (Digital Twin) trio adik-beradik KRU.
Inisiatif ini menjadikan mereka artis Malaysia pertama yang menggunakan teknologi AI untuk menghasilkan video muzik sekaligus memperkenalkan era baharu kepada industri hiburan tempatan. Pelancaran Voodoo bukan sekadar perayaan kreativiti muzik tetapi juga langkah strategik dalam menonjolkan potensi teknologi AI dalam hiburan.
KRU telah membuka lembaran baharu yang mampu memberi inspirasi kepada artis lain untuk bereksperimen dengan teknologi ini. Lagu Voodoo kini tersedia di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, membolehkan peminat menikmati hasil karya inovatif ini.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

