Site icon TechNave BM

Langkawi Port bekerjasama dengan CelcomDigi, tingkatkan pengurusan pelabuhan pintar

Pada Jumaat lepas, Langkawi Port Sdn. Bhd. (Langkawi Port) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerjasama CelcomDigi untuk mempertingkatkan operasi dan keselamatan pelabuhan menerusi Penyelesaian Keselamatan dan Sekuriti Dipacu AI (ASAS) hujung ke hujung. 

ASAS akan membolehkan Langkawi Port menjalankan analisis kenderaan di pintu masuk pelabuhan dan kawasan jeti. Mereka akan menyediakan kawalan sempadan digital pintar dengan paparan digital landskap pelabuhan untuk pengawasan umum melalui penggunaan geo-pagar dan kamera PTZ. 

Kedua-dua syarikat turut meneroka peluang dalam pelbagai lagi penyelesaian digital IoT seperti penyelesaian awan, keselamatan siber, pengurusan pelawat keseluruhan dan sebagainya. 

MoU ini ditandatangani oleh Pengerusi Langkawi Port, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah pada satu majlis di Kuah, Langkawi. 

Menurut Nasaruddin, trafik dan penggunaan pelabuhan telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Justeru, langkah ini diambil untuk menjamin, mengautomasikan dan mengoptimumkan operasi serta memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan. 

Selain itu, Afizulazha berkata bahawa mereka ingin meneroka projek perintis, menjalankan bukti konsep (POC) sehinggalah ke fasa pelaksanaan dan lebih inisiatif pada masa akan datang ketika negara menuju ke arah 5G untuk pertumbuhan digitalisasi Langkawi Port.

Ketahui lebih lanjut mengenai Langkawi Port dan kerjasama ini di laman web rasminya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version