Meta dilapor menjana berbilion dolar setiap tahun hasil daripada iklan yang mempromosikan penipuan dan produk haram di platform miliknya termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp. Pendedahan ini dibuat menerusi laporan baharu oleh Reuters yang menimbulkan persoalan besar mengapa gergasi media sosial itu masih gagal membendung isu tersebut.
Menurut dokumen dalaman yang diperoleh Reuters, Meta menganggarkan sehingga 10% daripada hasil tahunan syarikat datang daripada iklan penipuan dengan nilai sekitar USD16 bilion (RM76 bilion). Ini melibatkan iklan berkaitan e-dagang palsu, skim pelaburan haram, kasino dalam talian tanpa lesen dan penjualan produk perubatan yang dilarang.
Lebih mengejutkan, penyelidik Meta sendiri mendapati aplikasi syarikat itu termasuk Facebook dan Instagram terlibat dalam sepertiga daripada keseluruhan penipuan berjaya di Amerika Syarikat. Laporan turut mendedahkan bagaimana proses dalaman Meta kadang-kadang menyukarkan pasukannya sendiri untuk membanteras iklan palsu.
Sebagai contoh, pengiklan kecil yang dikesan mempromosikan penipuan kewangan tidak akan disekat selagi belum menerima lapan amaran manakala pengiklan besar dilapor boleh mendapat lebih 500 amaran tanpa disingkirkan. Empat kempen iklan penipuan yang dibuang oleh Meta tahun ini sahaja dilaporkan telah menyumbang sekitar USD67 juta kepada hasil syarikat.
Malah, eksekutif dalaman dikatakan diarahkan supaya tidak mengambil tindakan yang boleh “menjejaskan lebih daripada 0.15% daripada jumlah pendapatan syarikat.” Sebagai maklum balas, jurucakap Meta menjelaskan bahawa anggaran 10% itu “kasar dan terlalu meluas” sambil menyatakan laporan iklan penipuan global telah berkurang 58% dalam 18 bulan terakhir dengan lebih 134 juta kandungan dipadam pada 2025.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

