Site icon TechNave BM

Lebih 1,600 isu kualiti perkhidmatan telco dikesan tahun ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendedahkan lebih 1,600 isu kualiti perkhidmatan telekomunikasi telah dikesan di seluruh negara sejak Januari hingga Julai tahun ini. Daripada 2,781 ujian kualiti yang dijalankan, sebanyak 1,684 kes ketidakpatuhan terhadap Standard Wajib Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) telah dikenal pasti yang melibatkan 815 lokasi.

Sehingga kini, 462 isu telah berjaya diselesaikan manakala 1,222 isu masih dalam proses penilaian yang memerlukan pembinaan atau penggantian menara telekomunikasi. Bagi memastikan penambahbaikan dilakukan, MCMC telah mengeluarkan 268 arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya syarikat telco gagal mematuhi arahan tersebut, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. Selain itu, telco juga boleh dikenakan denda tambahan hingga RM500,000 di bawah Subseksyen 105(5) akta sama.

Dalam masa sama, pengguna digalakkan untuk membuat aduan terus kepada penyedia perkhidmatan atau melaporkannya kepada MCMC melalui portal rasmi dan aplikasi mudah alih MCMC Nexus. Setiap aduan berkaitan liputan lemah atau kelajuan internet bawah 10 Mbps akan disiasat dan boleh mencetuskan audit MSQoS susulan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Exit mobile version