Site icon TechNave BM

Lebih banyak spesifikasi HONOR Magic3 tertiris, kamera sokong zum sehingga 100x

Siri telefon pintar andalan HONOR Magic3 akan dilancar pada bulan depan dan beberapa spesifikasi utamanya telah pun tertiris. Kini, lebih banyak maklumat tentang varian tertinggi, HONOR Magic3 Pro+, telah tertiris di mana ia dilengkapi pelbagai spesifikasi menarik.

Menurut sumber, Magic3 Pro+ akan dilengkapi skrin 6.76 inci yang langsung tidak mempunyai lubang atau takuk untuk menempatkan kamera swafoto. Sebaliknya, kamera swafoto akan dilengkapkan di bawah skrin seperti ZTE Axon 30 agar skrinnya tidak mempunyai sebarang gangguan.

Kameranya pula bakal dilengkapi teknologi HONOR SuperZoom yang boleh sokong zum digital sehingga 100x. Satu lagi spesifikasi menarik dalam Magic3 Pro+ adalah pengecasan pantas 100W yang pasti boleh cas baterinya berkapasiti 4,400mAh dengan singkat. Di samping itu, ia turut menyokong pengecasan wayarles 50W.

Perlu diingati bahawa ini bukanlah berita rasmi daripada HONOR. Maklumat rasmi untuk siri HONOR Magic3 setakat ini adalah pelancarannya pada 12 Ogos. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version