Site icon TechNave BM

Lebih banyak spesifikasi POCO X7 didedah, termasuk skrin AMOLED 1.5K, kamera Sony 50MP

Siri POCO X7 bakal dilancar pada 9 Januari ini dan sepanjang minggu lalu, POCO telah berkongsi pelbagai informasi mengenai peranti pertama oleh jenama itu untuk tahun ini. Kini POCO berkongsi informasi baharu mengenainya, seperti spesifikasi skrin, sensor kamera dan banyak lagi.

POCO X7 5G bakal dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Sony LYT 600 dan penstabilan imej optikal OIS, manakala untuk ketahanan pula, ia mempunyai rating kalis air dan debu IP69, jadi tidak perlu risau jika ia terjatuh dalam air. Walaupun dengan skrin yang basah, ia mempunyai fungsi Wet Touch Display 2.0 yang masih boleh baca input sentuhan daripada jari.

Sementara itu, platform e-dagang Flipkart telah berkongsi spesifikasi skrinnya iaitu skrin AMOLED 1.5K 3D dengan kadar segar semula adaptif 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 serta sokongan kandungan Dolby Vision dan HDR10+.

Flipkart turut memberi huraian lanjut untuk kamera POCO X7 Pro 5G, di mana ia dilengkapi kamera ultra-lebar 8MP dan kamera hadapan 20MP.

Spesifikasi lain yang sudah disahkan pada minggu lalu termasuklah cipset MediaTek Dimensity 8400 Ultra (POCO X7 Pro), Dimensity 7300 Ultra (POCO X7) dan bateri 6,500mAh. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version