Site icon TechNave BM

Lebuhraya PLUS akan sediakan lorong tol RFID bermula Januari 2022

Bermula 15 Januari 2022, plaza tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bakal membuka lorong untuk kenderaan ringan persendirian yang dilengkapi teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi membuat pembayaran tol.

Menurut sumber, lorong RFID untuk kenderaan Kelas 1 akan dibuka dalam semua plaza tol di antara Juru, Pulau Pinang dan Skudai, Johor. Kewujudan lorong ini diharapkan bakal menyediakan pengalaman yang lebih lancar untuk para pemandu lebuhraya.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengatakan inisiatif ini adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol serta memudahkan pembayaran.

Untuk lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG pula, ia akan masih terus beroperasi namun akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada lebih banyak pembukaan lorong RFID.

Teknologi RFID memudahkan pemandu di plaza tol kerana mereka tidak perlu berhenti untuk membayar tol. Sebaliknya, mereka hanya perlu memandu pada kelajuan 30 km/j di lorong RFID dan sistem tersebut akan mengimbas komponen RFID yang dilekatkan pada lampu kenderaan.

Selain memudahkan pembayaran tol, ia turut mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang boleh tersebar melalui pertukaran wang tunai fizikal. KKR menggalakkan pengguna untuk beralih kepada RFID di mana-mana 39 pusat pemasangan RFID di seluruh Semenanjung atau portal Touch ‘n Go.

Adakah kenderaan anda sudah dilengkapi teknologi RFID? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version