Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menahan seorang individu lelaki berumur 35 tahun di Kampung Pandan, Kuala Lumpur selepas beliau disyaki menggunakan MyKad milik orang lain untuk melakukan pinjaman membeli sebuah iPhone. Beliau ditahan pada 8 Mac lalu, jam 7:30 petang.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, seorang individu telah berkongsi dalam media sosial mengenai kehilangan MyKad-nya pada beberapa tahun dahulu, kemudian baru-baru ini beliau mendapati terdapat orang lain yang menggunakan identitinya untuk membuat pinjaman bagi membeli iPhone 16 Pro Max 1TB.
Beliau mengesyaki bahawa MyKad-nya telah diklon dan terus membuat laporan. Berdasarkan maklumat tersebut, JPN melakukan risikan kemudian menangkap suspek semalam. Siasatan awal telah mengenal pasti identiti sebenar suspek dan beliau turut memiliki sekeping lagi MyKad palsu.
Datuk Seri Saifuddin turut berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tangkapan seterusnya akan dilakukan, berdasarkan siasatan ke atas suspek. Kes ini akan disiasat bawah Peraturan 25(1)(e) dan Peraturan 25(1)(o), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana menggunakan MyKad palsu sebagai dokumen pengenalan diri, serta memiliki MyKad orang lain.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

