Site icon TechNave BM

“Lelaki mengandung” antara emoji terbaru dalam kemas kini iOS 15.4

Pengguna iPhone kini boleh menerima kemas kini awal untuk iOS iaitu iOS 15.4 versi beta dan antara ciri menarik adalah tambahan kepada senarai emoji yang boleh digunakan oleh pengguna, merangkumi kategori smiley, isyarat tangan dan banyak lagi.

Antara emoji yang paling menarik perhatian netizen adalah emoji “lelaki mengandung” yang menunjukkan seorang lelaki membelai perutnya yang besar, seperti menunjukkan bahawa lelaki itu sedang hamil. Emoji itu menyerupai emoji “wanita mengandung” dan ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen di seluruh dunia.

Ada pihak yang membantah pengenalan emoji ini kerana kehamilan hanyalah sesuatu yang boleh dialami oleh para wanita. Sebelum ini, laman web Emojipedia mengatakan emoji “lelaki mengandung” ini boleh digunakan oleh lelaki trans, wanita dengan rambut pendek atau jantina non-binary.

Selain itu, Emojipedia juga mengatakan emoji ini boleh diguna untuk menggambarkan seorang lelaki yang sangat kekenyangan, sehingga perutnya membesar seperti perut hamil.

Di samping emoji tersebut, kemas kini iOS ini turut memperkenalkan 42 emoji baharu seperti yang boleh dilihat di bawah:

Emoji smiley baharu
Emoji isyarat tangan baharu
Emoji bersalaman tangan yang menunjukkan pelbagai warna kulit

Perlu diingati bahawa kemas kini ini hanya ditawarkan kepada pengguna iPhone yang berdaftar untuk menerima kemas kini iOS beta. Kemas kini ini dijangka hanya akan ditawarkan kepada pengguna umum pada lewat tahun ini.

Adakah anda akan menggunakan mana-mana emoji di atas? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Emojipedia

Exit mobile version