Site icon TechNave BM

Lenovo lancar jerayawara FIFA World Cup 2026 dan peranti edisi khas di Malaysia

Lenovo secara rasmi melancarkan Lenovo x FIFA World Cup 26™ Roadshow di Malaysia yang membawa pengalaman bertemakan bola sepak dan teknologi AI ke beberapa lokasi utama seluruh negara. Jerayawara ini turut menjadi platform pelancaran rasmi beberapa peranti edisi khas FIFA World Cup 26™ termasuk laptop premium, gaming laptop dan tablet dengan rekaan eksklusif bertemakan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Acara berkenaan akan berlangsung di tiga lokasi utama iaitu Sunway Carnival, Penang dari 30 April hingga 3 Mei 2026, Low Yat Concourse, Kuala Lumpur dari 1 hingga 7 Jun 2026 serta South Key North Court, Johor Bahru dari 25 hingga 28 Jun 2026. Sepanjang jerayawara berlangsung, pengunjung boleh mencuba pelbagai pengalaman interaktif berinspirasikan bola sepak termasuk gaming zone, Skill Arena, cabaran refleks dan aktiviti berasaskan AI.

Lenovo juga menawarkan baucar ZUS Coffee bernilai RM10 kepada pengunjung yang melengkapkan semua cabaran. Dalam pada masa yang sama, Lenovo memaklumkan bahawa mereka akan menyediakan infrastruktur dan penyelesaian AI bagi membantu operasi kejohanan serta meningkatkan pengalaman tontonan peminat di seluruh dunia.

Antara teknologi yang diketengahkan termasuk Referee View yang menawarkan perspektif atas padang kepada penonton serta avatar digital 3D berasaskan AI bagi memberikan visualisasi lebih mendalam. Bersempena kerjasama dengan FIFA, Lenovo turut memperkenalkan Lenovo Yoga Slim 7i Ultra Aura Edition FIFA World Cup 26 Edition yang hadir dengan berat kurang 1kg serta dijana pemproses Intel Core Ultra X9 Series 3 bersama GPU Intel Arc terbina.

Model Copilot+ PC itu dilengkapi RAM 9600MHz untuk prestasi AI, janaan imej dan multitugas lebih pantas. Lenovo juga memperkenalkan Lenovo Legion Pro 7i FIFA World Cup 26 Edition yang memfokuskan kepada segmen gaming berprestasi tinggi menerusi penggunaan cip Intel Core Ultra 9 275HX. Ia dilengkapi sistem penyejukan Legion Coldfront Vapor dengan teknologi hyperchamber yang menyokong sehingga 250W TDP.

Selain itu, Lenovo memperkenalkan Lenovo Idea Tab FIFA World Cup 26 Edition yang dipacu cip MediaTek octa-core bersama bateri 7040mAh. Tablet tersebut turut menyokong Lenovo Tab Pen untuk kegunaan produktiviti dan hiburan harian. Untuk harga, Yoga Slim 7i Ultra Aura Edition FIFA World Cup 26™ Edition dijual bermula RM8,599 manakala Legion Pro 7i FIFA World Cup 26™ Edition ditawarkan pada harga bermula RM14,599.

Sementara itu, Lenovo Idea Tab FIFA World Cup 26™ Edition pula bermula RM1,049. Lenovo menawarkan ganjaran eksklusif kepada pelanggan yang membuat pembelian minimum RM2,999 sepanjang roadshow berlangsung. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk cendera mata FIFA edisi terhad, aksesori Lenovo terpilih, Microsoft Office Home & Student serta Microsoft 365.

Pelanggan turut berpeluang menyertai spin-and-win untuk memenangi pelbagai cendera mataFIFA seperti bag kasut Adidas, botol air aluminium dan FIFA Trionda country mini balls. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version