Site icon TechNave BM

Lenovo lancarkan komputer riba dan telefon pintar dengan skrin “boleh gulung”

Dalam acara inovasi tahunan Lenovo Tech World yang dianjurkan semalam, Lenovo telah memperkenalkan teknologi skrin baharu yang boleh digunakan dalam komputer riba dan telefon pintar. Skrin ini mempunyai mekanisme gulung (rollable) yang boleh mengubah saiz skrin dengan serta-merta.

Menurut sebuah demonstrasi yang ditunjukkan oleh eksekutif naib presiden Lenovo, Luca Rossi, beliau menunjukkan sebuah telefon dengan saiz skrin yang boleh berubah apabila sebuah butang ditekan. Pada asalnya, skrin telefon itu mempunyai bentuk petak, kemudian skrinnya digulung keluar untuk menghasilkan reka bentuk mirip telefon pintar konvensional.

(Kiri) reka bentuk asal, (kanan) reka bentuk selepas skrin digulung keluar

Skrin itu juga boleh digulung masuk semula untuk mengecilkan saiz telefon itu ke bentuk asal. Kandungan video yang dipaparkan pula boleh melaraskan resolusi secara automatik, bergantung kepada saiz skrin.

Beliau juga berkata konsep skrin gulung yang serupa boleh diperkenalkan dalam komputer riba. Dalam sebuah demonstrasi, sebuah skrin komputer riba digulung keluar untuk menjadi lebih tinggi dan mengubah nisbah aspek skrin tersebut secara drastik.

Dengan perubahan saiz skrin ini, ia akan meningkatkan tahap kegunaan multi-tugas, pelayaran internet dan pelbagai jenis aplikasi.

(Kiri) reka bentuk asal untuk skrin komputer riba, (kanan) reka bentuk skrin selepas ia digulung keluar

Sungguh pun begitu, skrin boleh gulung ini masih dalam fasa pembuktian awal (proof of concept) dan ia masih belum ditawarkan secara komersial.

Konsep skrin gulung ini bukanlah idea yang baru. Sebelum ini, LG pernah menunjukkan teknologi serupa dalam telefon LG Rollable, namun memandangkan LG sudah pun menamatkan operasi telefon pintar, telefon itu pasti tidak akan dihasilkan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang teknologi unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version