Site icon TechNave BM

Lenovo mungkin akan lancarkan konsol “gaming” mudah alih mirip Steam Deck dan ROG Ally

Sejak Valve mempopularkan konsep komputer gaming mudah alih dengan Steam Deck, semakin banyak syarikat komputer merancang untuk melancarkan produk yang serupa, seperti yang dilakukan oleh ASUS dengan ROG Ally. Kini syarikat komputer dari China, Lenovo, dikhabarkan akan melancarkan komputer gaming mudah alihnya sendiri yang dinamakan Lenovo Go.

Beberapa gambar peranti tersebut telah mula tertiris dalam internet, di mana ia mempunyai reka bentuk mirip Nintendo Switch kerana butang kawalan di bahagian sisi boleh dicabut. Butang kawalannya mempunyai corak ABXY mirip pengawal Xbox, manakala kayu bediknya (joystick) mempunyai cahaya RGB mirip ROG Ally.

Terdapat juga sebuah pad penjejak (touchpad) kecil di bahagian sisi kanan seperti dalam Steam Deck. Di belakang, ia mempunyai dua butang pemicu (trigger), lohong pengudaraan dan tongkat pendiri yang agak lebar.

Spesifikasi yang dikhabarkan untuk Lenovo Go termasuklah skrin 8 inci, sistem operasi Windows 11 dan cipset Phoenix baharu oleh AMD. Ia turut menyediakan ruang untuk dua port USB-C, bicu audio 3.5mm dan ruang kad microSD.

Setakat ini Lenovo masih belum mengumumkan sebarang maklumat rasmi tentang Lenovo Go. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Windows Report

Exit mobile version