LG Electronics akan memperkenalkan robot rumah baharunya iaitu LG CLOiD buat pertama kali di CES 2026. Robot ini dibangunkan sebagai pembantu rumah pintar yang menyokong visi “Zero Labor Home, Makes Quality Time” yang bertujuan mengurangkan beban kerja rumah agar pengguna dapat menumpukan lebih masa kepada perkara yang lebih bermakna.
LG CLOiD direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan dalaman rumah dan dilengkapi dua lengan artikulasi dengan tujuh darjah kebebasan setiap satu serta lima jari bermotor pada setiap tangan bagi membolehkan pergerakan yang fleksibel dan tugasan halus.
Bahagian kepala robot menempatkan cip pemproses, paparan, pembesar suara, kamera dan pelbagai sensor bagi menyokong interaksi suara semula jadi, komunikasi ekspresif serta navigasi pintar. Ia dikuasakan oleh teknologi Affectionate Intelligence LG yang mampu memahami persekitaran, berinteraksi secara intuitif dan menambah baik respon melalui pembelajaran berasaskan interaksi berulang.
LG turut menegaskan robotik sebagai enjin pertumbuhan masa depan syarikat termasuk penubuhan HS Robotics Lab dan kerjasama strategik dengan rakan industri global. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

