Site icon TechNave BM

LG hasilkan pelitup muka yang dilengkapi kipas dan pembersih udara elektronik

Pada waktu pandemik COVID-19 ini, majoriti orang selalu memakai pelitup muka bagi membendung penularan penyakit tersebut. Jika anda merasakan pelitup muka yang biasa masih tidak mencukupi, mungkin anda akan berminat dengan pelitup muka PuriCare Wearable Air Purifier oleh LG yang dilengkapi pembersih udara (air purifier) elektronik.

Pelitup muka yang unik ini dilengkapi dengan sepasang kipas yang mempunyai tiga tetapan kelajuan dan sepasang penapis udara bercekapan tinggi (high-efficiency particulate air, HEPA) iaitu penapis serupa yang terdapat dalam pembersih udara di dalam rumah. Pelitup muka LG ini dilengkapi sensor yang boleh mengesan kadar pernafasan untuk melaraskan kelajuan kipas dan memberikan pengalaman bernafas yang selesa.

Ia dilengkapi bateri 820mAh yang boleh tahan sehingga lapan jam daripada pengecasan penuh. Apabila tidak digunakan, pelitup muka ini boleh diletak dalam kotak kecil yang mempunyai lampu LED ultra-ungu yang boleh membasmi kuman pada permukaan pelitup muka ini. Ia juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar untuk memberitahu bilakah penapisnya perlu ditukar.

Produk unik ini akan dilancarkan dalam acara IFA (Internationale Funkausstellung Berlin) pada 3-5 September. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: LG Newsroom

Exit mobile version