Site icon TechNave BM

LG kini telah keluar daripada industri telefon pintar secara rasmi

LG Electronics hari ini mengumumkan bahawa mereka akan menutup divisyen telefon pintar mereka selepas mengalami pelbagai masalah dan kerugian dalam industri tersebut. Sebelum ini, divisyen telefon pintar LG sering mencatatkan kerugian besar dan LG juga cuba menjual divisyen tersebut kepada syarikat luar, namun mereka gagal berbuat demikian.

Dalam sebuah siaran akhbar, LG menjelaskan bahawa stok telefon pintar LG yang masih ada akan terus dijual seperti biasa, manakala para pelanggan yang telah membeli telefon LG akan terus menerima sokongan perkhidmatan dan kemas kini perisian dalam masa yang akan ditetapkan mengikut negara masing-masing.

Proses penutupan divisyen telefon pintar LG dijangka akan berlansung sehingga 31 Julai, namun stok telefon pintar yang masih ada mungkin akan dijual selepas tarikh tersebut. LG kini merancang untuk membangunkan teknologi berkaitan perhubungan 6G, kereta elektrik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan lain-lain sektor perniagaan.

Nampaknya kita tidak akan melihat telefon LG yang telah diacah sebelum ini seperti LG Rollable. Telefon terakhir yang telah dilancar oleh LG adalah LG Wing yang menampilkan dua skrin yang boleh diputar 90 darjah.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan merindui telefon pintar LG dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: LG Newsroom

Exit mobile version