Site icon TechNave BM

LG mungkin akan keluar daripada industri telefon pintar pada tahun ini

Selain Samsung, LG merupakan satu lagi syarikat telefon pintar Korea Selatan yang mempunyai reputasi cemerlang dalam industri teknologi. Walau bagaimanapun, jualan telefon LG tidaklah setinggi pesaing-pesaingnya sejak beberapa tahun lalu dan kini mereka mungkin akan keluar daripada industri telefon pintar.

CEO LG Kwon Bong-seok baru-baru ini telah mengedarkan surat kepada para pekerjanya, di mana beliau memaklumkan bahawa LG sedang mempertimbangkan beberapa keputusan terhadap divisyen telefon pintarnya, termasuklah mengecil atau menjualkan divisyen tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa persaingan industri telefon yang semakin sengit telah memaksa LG untuk mengambil tindakan tegas terhadap divisyen telefon pintarnya.

Sebelum ini, terdapat pelbagai khabar angin yang mengatakan LG akan mengecilkan divisyen telefon pintar, di mana 60% daripada para pekerjanya akan dipindahkan kepada divisyen LG yang lain. Daripada segi kewangan, LG sudah pun kerugian berbilion daripada perniagaan telefon pintar.

Telefon pintar andalan terakhir yang dilancarkan oleh LG adalah LG Wing pada September 2020 yang menampilkan rekaan dwi-skrin unik. Selain itu, LG juga sudah memberi sedikit pratonton untuk telefon gulung LG Rollable pada CES 2021 namun masih tiada maklumat rasmi tentang peranti itu.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WCCF Tech

Exit mobile version