Site icon TechNave BM

LHDN buka akses Portal Mylnvois untuk pengeluaran dan penghantaran e-Invois

Portal Mylnvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini boleh diakses untuk pengeluaran dan penghantaran e-Invois. Dalam kenyataannya, LHDN menyatakan bahawa ketersediaan portal Mylnvois menunjukkan komitmen agensi dalam memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar, khususnya bagi pembayar cukai Fasa 1 yang akan menggunakan e-Invois secara mandatori mulai 1 Ogos ini.

Pembayar cukai boleh mengemukakan e-Invois kepada LHDN melalui Integrasi API bagi syarikat yang mempunyai sistem perisian sendiri atau melalui portal Mylnvois yang boleh diakses secara percuma di https://mytax.hasil.gov.my.

Sebagai tambahan, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 3.0) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di laman Mikro e-Invois di portal LHDN sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai. LHDN juga mengemas kini Software Development Kit (SDK) Versi 1.0 dengan fungsi terbaharu untuk pengesahan tandatangan digital.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melaksanakan e-Invois secara berperingkat, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menumpukan kepada mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan mendigitalkan pentadbiran cukai.

Pelaksanaan e-Invois membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir masa nyata serta memenuhi keperluan transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-kerajaan (B2G).

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: LHDN

Exit mobile version