Site icon TechNave BM

Liputan 5G di Malaysia capai 80.2%, bakal beralih kepada model rangkaian dwi 5G

Liputan rangkaian 5G negara telah mencapai 80.2% di kawasan berpenduduk setakat 31 Disember 2023 yang melepasi sasaran 80%, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Susulan pencapaian tersebut, kerajaan akan mengumumkan cadangan peralihan kepada model rangkaian dwi 5G tidak lama lagi.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas 5G akan bermesyuarat pada hari Jumaat untuk memutuskan rancangan dan hala tuju. Keputusan yang dibuat oleh pasukan petugas itu akan dibawa kepada kabinet.

Fahmi menambah, kerajaan tidak akan mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan dan membuat pengumuman mengenai peralihan daripada liputan rangkaian 5G tunggal kepada dwi. Selepas itu, dwi 5G boleh dilaksanakan jika syarat yang dipersetujui oleh Pasukan Petugas Khas 5G dicapai.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa kerajaan mengalu-alukan pelaksanaan rangkaian 5G beralih daripada liputan rangkaian tunggal kepada dua berdasarkan beberapa justifikasi termasuk memecahkan monopoli yang dipegang oleh rangkaian tunggal kerajaan dan membolehkan penyertaan dan persaingan yang lebih berkesan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version