Site icon TechNave BM

‘Liquid Glass’ iOS 26 cantik dipandang, tapi dikritik pengguna iPhone

Apple baru sahaja melancarkan iOS 26 dengan rekaan antaramuka baharu yang digelar Liquid Glass. Ciri ini menampilkan kesan animasi, transparensi dan ikon berbentuk kaca cair yang memberi nafas moden pada sistem operasi. Namun, tidak semua pengguna berpuas hati dengan perubahan ini.

Sejak kemas kini dilancarkan, ramai pengguna mengadu prestasi peranti mereka menjadi lebih perlahan khususnya pada model iPhone yang lebih lama. Animasi yang berat dan tindak balas sistem yang lambat menimbulkan rasa kurang selesa.

Selain itu, masalah kontras rendah turut menyukarkan pembacaan notifikasi dan teks manakala rekaan ikon yang kelihatan kabur dianggap tidak konsisten dengan keseluruhan antaramuka. Ada pengguna yang merasakan Liquid Glass terlalu “cartoony” atau “floaty”, malah dibandingkan dengan telefon mainan kerana kelihatan berlebihan.

Beberapa elemen juga dikritik kerana memerlukan terlalu banyak sentuhan untuk menyelesaikan tugas mudah. Bagaimanapun, tidak semua ulasan bersifat negatif. Ada pengguna yang menganggap perubahan ini membawa nafas baharu yang menjadikan pengalaman iOS lebih segar, moden dan menyeronokkan.

Elemen kaca cair serta animasi dinilai memberi sentuhan lebih futuristik terutama pada paparan kunci dan notifikasi. Bagi yang kurang menyukai rekaan ini, Apple turut menyediakan pilihan untuk mengurangkan kesan visual melalui tetapan Reduce Transparency atau menambah kontras paparan di bahagian Accessibility.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MacRumors

Exit mobile version